Pada 9 September 2016 (Jumaat) yang lalu telah diadakan latihan kawad kecemasan dan kebakaran untuk semua warga Sekolah Kebangsaan Batu Bertangkup (SKBB). Latihan ini telah diadakan pada pukul 11 pagi iaitu selepas aktiviti gotong-royong diadakan. Murid-murid berada di dalam kelas dan sedang mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) ketika latihan ini diadakan. Loceng dibunyikan secara berterusan dan semua warga SKBB diminta untuk segera ke tempat yang telah ditetapkan iaitu di padang sekolah. Walau bagaimanapun untuk permulaan ini murid-murid didapati tidak menepati ciri-ciri yang telah ditetapkan seperti berjalan lambat, mengikuti laluan yang salah untuk ke padang sekolah dan tidak mengikut kelas masing-masing. Guru yang mengendalikan latihan kawad kecemasan dan kebakaran ini iaitu Cikgu Khayril Anuar Bin Ahmad tidak berpuas hati dan memberi penerangan semula kepada murid-murid mengenai apa yang sepatutnya mereka lakukan. Murid-murid diminta kembali semula ke kelas dan latihan ini diadakan sekali lagi. Untuk kali kedua ini, murid-murid telah dapat mengikuti langkah-langkah yang telah ditetapkan semasa menghadapi kecemasan dan kebakaran.